SELAMAT DATANG KE BLOG MANGANU3,SEMOGA MENDAPAT INFO YANG BERMANFAAT

05 November 2010

Kata bilangan



Untuk kali ini saya bawakan topik Kata Bilangan.Kat sini anak2 boleh belajar tentang jenis2 kata bilangan dan penggunaanya dalam ayat.Juga diselitkan tentang kesalahan-kesalahan penggunaan Kata Bilangan.

KATA BILANGAN

Kata bilangan ialah kata yang digunakan untuk menghitung atau membilang sesuatu. Dalam bahasa Melayu baku, kata bilangan terbahagi kepada enam jenis, iaitu:
a) Kata bilangan tentu
b) Kata bilangantak tentu
c) Kata bilangan himpunan
d) Kata bilangan pecahan
e) Kata bilangan pisahan
f) Kata bilangan tingkat

Perhatikan penerangan di bawah ini.

Kata bilangan tentu
Kata bilangan yang telah ditentukan jumlah atau bilangannya. Contoh: satu, tiga, enam, sepuluh, tiga ratus, lapan ribu, enam juta.
1 Kerani itu sedang mengepit satu keping fail.
2 Dua buah kelapa muda itu telah ditebuk tupai.
Kata bilangan tak tentu
Kata bilangan yang tidak diketahui jumlah/bilangannya. Contoh: para, semua, sesetengah, banyak, pelbagai
1 Semua penghuni kampung itu akan dipindahkan ke tempat lain.
2 Banyak rumah dan harta benda musnah dalam kejadian banjir lumpur itu.
Kata bilangan himpunan
Kata bilangan himpunan asalnya ialah kata bilangan tentu tetapi telah digandakan dan ditambah dengan
imbuhan ke- dan ber-. Contoh: berpuluh-puluh, berjam-jam, ketiga-tiga, kelapan-lapan
1 Kedua-dua buah jambatan itu rosak teruk.
2 Sudah bertahun-tahun kejadian itu berlaku.
Kata bilangan pecahan
Kata bilangan yang berbentuk pecahan. Contoh: setengah, satu perempat, dua per lima, tiga per lapan
1 Setengah bahagian kek itu telah dihurungi semut.
2 Dia mengambil masa hampir tiga per empat jam untuk menyiapkan surat permohonan itu.

Kata bilangan pisahan
Kata bilangan yang digunakan untuk membilang sesuatu secara berasingan. Contoh: tiap-tiap/setiap dan masing-asing
1 Tiap-tiap petang, Pak Ali membawa cucunya itu bersiar-siar di taman bunga.
2 Mereka gagal menyiapkan kerja masing-masing dalam masa yang telah ditetapkan.
Kata bilangan tingkat
Kata bilangan yang asalnya kata bilangan tentu tetapi telah ditambah dengan imbuhan ke. Contoh: ketiga, ketujuh, kedua belas, ketiga ratus, kedua juta .
1 Setelah masuk hari yang ketujuh barulah dia berasa badannya agak ringan sedikit.
2 Zainah memilih nombor giliran kedua untuk temuduga jawatan kerani itu.

Dalam penulisan elakkan daripada melakukan kesalahan seperti yang berikut:-
1. Kesalahan tidak meletakkan penjodoh bilangan kepada kata nama konkrit yang dibilang dengan menggunakan kata bilangan tentu.
Contoh:
a) Lima guli itu telah retak. (X)
b) Lima biji guli itu telah retak. (√)
2. Kesalahan menggandakan kata nama konkrit yang dibilang dengan menggunakan kata bilangan tentu yang telah sedia membawa
makna jamak.
Contoh:
a) Sepuluh buah kilang-kilang di kawasan itu beroperasi secara haram. (X)
b) Sepuluh buah kilang di kawasan itu beroperasi secara haram. (√)

3. Kesalahan meletakkan penjodoh bilangan bagi kata nama konkrit yang dibilang dengan menggunakan kata bilangan tak tentu.
Contoh:
a) Banyak orang pelajar lulus dalam ujian sains itu. (X)
b) Banyak pelajar lulus dalam ujian sains itu. (√)

4. Kesalahan menggandakan kata nama konkrit yang dibilang dengan menggunakan kata bilangan tak tentu.
Contoh:
a) Para guru-guru diingatkan agar mengambil sikap berkecuali. (X)
b) Para guru diingatkan agar mengambil sikap berkecuali. (√)

5. Kesalahan menulis singkatan kata bilangan himpunan dalam ayat.
Contoh:
a) Kelapan ekor anak lembu itu akan dihantar ke klinik haiwan. (X)
b) Kelapan-lapan ekor anak lembu itu akan dihantar ke klinik haiwan. (√)

6. Kesalahan tidak meletakkan penjodoh bilangan kepada kata nama konkrit yang dibilang dengan menggunakan kata bilangan
himpunan.
Contoh:
a) Kedua-dua bakul itu penuh berisi sayur. (X)
b) Kedua-dua buah bakul itu penuh berisi sayur. (√)

7. Kesalahan menggunakan kata bilangan tak tentu para menjadi para-para.
Contoh:
a) Para-para menteri itu sedang bermesyuarat. (X)
b) Para pelajar itu berasal dari Jepun. (√)

8. Kesalahan menulis ringkas kata bilangan tak tentu berbagai-bagai menjadi berbagai sahaja.
Contoh:
a) Berbagai barang antik ada dipamerkan di situ. (X)
b) Berbagai-bagai barang antik ada dipamerkan di situ. (√)

9. Kesalahan menulis singkat kata bilangan pisahan tiap-tiap menjadi tiap sahaja.
Contoh:
a) Tiap petang dia bermain badminton. (X)
b) Tiap-tiap petang dia bermain badminton. (√)

No comments:

Post a Comment